Rock Bro adalah buah tangan terbaharu Mamat Khalid. Secara
peribadi, saya mula tertarik dengan Mamat Khalid melalui filem Puteri Gunung
Ledang (2004) yang diarahkan oleh Saw Teong Hin.
Mamat Khalid merupakan penulis skrip filem tersebut. Cuba
korang selami dialog filem PGL dan korang akan dapati ianya sangat puitis,
‘makan dalam’ dan power.
Keindahan bahasa akan membawa kita kepada suatu bentuk
pemikiran dan ketinggian budaya dalam sesebuah filem. Cuba korang tonton
filem-filem Rahim Razali, Husin Hanif atau Omar Rojik dan korang akan
mengiyakan pandangan saya ini.
Kehebatan Mamat inilah yang mengangkat beliau sebagai
pengarah yang saya minati selain Shuhaimi Baba, Nasir Jani, Dain Said, Arwah
Yasmin Ahmad, Uwei Haji Shaari, Rahim Razali dan Aziz M Osman.
Antara filem Mamat Khalid yang menjadi play-list saya adalah
Man Laksa (2006) dan Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010).
1. Sebagai seorang yang membesar dengan muzik, saya
merasakan bahawa filem Mamat kali ini berjaya menyampaikan roh
‘self-empowerment’ anak muda melalui band Rimba Bara, tentang ‘penggagahan
diri’, tentang jatuh-bangun mereka dalam industri muzik dengan cara ‘values’
atau cita rasa mereka sendiri tanpa mempedulikan apa pun onak-duri-ranjau yang
berlaku ke atas mereka.
2. Filem ini mengisahkan 4 anak muda Jijo, Slash, Black, Zul
Kapan dan Dio yang meneruskan perjuangan kumpulan muzik rock; Rimba Bara.
Pelbagai rintangan dan cabaran sebagai ‘musician’ perlu
dilalui sehinggakan mereka hanya mendapat upah buah-buahan tempatan sebagai
bayaran persembahan muzik mereka.
Dan lebih dahsyat konsert mereka hanya ditonton oleh 10
orang penonton sahaja sedangkan mereka adalah kumpulan rock tersohor yang
pernah bermain di Anugerah Juara Lagu.
3. Ya, filem ini bercerita tentang anak muda yang mahu
mengejar cita-cita sebagai kumpulan muzik yang berjaya.
Dalam filem-filem Rock sebelum ini, Mamat menggambarkan
betapa susahnya kumpulan Rimba Bara untuk berjaya sehingga terpaksa bergolok
gadai semata-mata untuk merealisasikan impian mereka sebagai kumpulan muzik
yang berjaya.
Situasi yang digambarkan oleh Mamat adalah realiti yang
berlaku kepada kumpulan-kumpulan rock pada masa tersebut. Ramai pemuzik-pemuzik
bukanlah berasal dari KL.
Kebanyakkan daripada mereka adalah budak-budak kampung yang
lari ke KL, bekerja sendiri, sewa rumah beramai-ramai dan hidup cari makan
sendiri. Kesusahan hidup, mereka tolak tepi janji kecintaan mereka terhadap
muzik dapat dipenuhi.
4. Filem Rock Bro ini adalah sebuah filem muzikal. Seleksi
lagu-lagu dalam filem ini menangkap dan kena dengan jalan ceritanya. Sebagai
seorang ‘musician’, Mamat faham dan tahu lagu apa yang sesuai dengan
scene-scene dalam filemnya.
5. Terus terang saya katakan bahawa filem ini cukup rempah
ratusnya sebagai sebuah filem yang seronok untuk ditonton. Mamat berjaya
membawa kita kembali menelusuri zaman jatuh-bangun pemuzik-pemuzik rock sekitar
tahun 80an-90an.
Filem ini berjaya membentuk ‘geist’ dan mentaliti tentang
irama rock sebagai yang mempengaruhi jiwa anak-anak muda ketika itu.
Tidak susah untuk menghadam filem Rock Bro ini kerana
watak-watak, naratif, ruang dan waktu serta konflik disusun dengan teratur dan
dijalin dengan kemas oleh Mamat.
6. Ada satu babak yang saya suka dalam filem ini bila Jijo
merajuk dengan Hattan dan mempersoalkan kenapa mereka ada idea dan lagu
sendiri.
Tetapi Hattan meminta supaya Rimba Bara menggunakan lagu
yang telah dicipta oleh komposer dan menggunakan ‘session musician’. Jijo
memberontak dan tak mahu semua itu berlaku dalam Rimba Bara.
7. Dulu masa saya sekolah saya pernah interview Joe Kidd.
Ah, kalau korang tak kenal Brader Joe Kidd bererti ko adalah seorang poseur.
Joe Kidd bagitau masa dia riliskan album Songs For Friends
sekitar tahun 1993, wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan tentang
album tersebut bagi soalan sampai ke tahap marah-marah ‘kenapa buat lirik
sendiri?’, ‘kenapa buat lagu sendiri?’, ‘pasal apa tak panggil para professional
untuk buat semua ni?’
8. Mamat pernah melalui situasi ini dan dia cuba
membangkitkan persoalan kenapa band-band mesti menggunakan lagu-lagu ‘kilang
lagu’ seperti M Nasir atau Saari Amri sedangkan mereka ada lagu dan idea mereka
sendiri?
Kenapa mereka mesti menggunakan ‘session musician’ sedangkan
mereka boleh bermain alat muzik sendiri? Cuba korang tonton filem Kembara
Seniman Jalanan untuk versi yang lebih ‘keras’ tentang perkara ini.
9. Saya juga terhibur dengan lawak-lawak yang ada dalam filem
ini. Pada saya lawak-lawak Mamat tidak pernah mengecewakan.
Begitu juga soal kritikan sosial. Soal jatidiri, soal
kekeluargaan, soal kembali kepada agama adalah intipati yang cuba dibangkitkan
oleh Mamat dalam filem ini.
10. Filem Rock Bro ini sebenarnya adalah nostalgia
masyarakat setempat yang pernah kita lalui sebelum ini.
Mamat cuba membawa imejan-imejan rockers, latar suasana
90-an dengan jayanya. Imej rambut panjang, kasut Aliph, baju band dan kain
bandana adalah imejan-imejan yang kultus dan sebati dengan budaya rock.
11. Dalam pada masa itu juga kita dimomokkkan dengan stigma
irama rock dan black metal adalah budaya negatif dan penyanyi rock tiada masa
depan.
Namun Mamat sedikit sebanyak memperbetulkan dan membuang
prejudis ini dengan sikap-sikap positif anggota Rimba Bara seperti sikap
mematuhi waktu, tidak mengambil dadah dan tidak cepat menghukum orang walaupun
telah beberapa kali ditipu oleh Che Man.
12. Persoalan kembali kepada agama juga diangkat beberapa
kali oleh Mamat untuk menggambarkan bahawa agama mempunyai perkaitan secara
terus dalam kehidupan.
Kita nampak Mamat mengaitkan watak Zul, watak Jijo dan watak
Slash dengan agama, memperlihatkan kepada kita tentang peri-pentingnya
perkaitan agama dan kehidupan.
Dan baru-baru ini, saya baru mendengar ceramah Ijam Medicine
yang bercerita tentang penghijrahan ke arah agama ini.
15. Mamat mengakhiri filem ini dengan pengakhiran yang tidak
dijangka. Apa yang bakal terjadi kepada Rimba Bara? Apa yang terjadi kepada
Jijo?
Apa yang terjadi kepada Slash, Black dan Dio? Jawapannya
anda kena tonton filem ini sekarang juga!
Sumber : TheVocket